It's been awhile...
Banyak yang terjadi. Melelahkan dan membuat aku hampir putus asa. Sebelum tiba 2024 lagi aku telah mengadap banyak sketsa. Huru-hara. Ketika menulis ini pun aku tak dapat menzahirkan segalanya, hilang kata-kata kerana terlalu banyak yang terjadi. Tapi biar semua jadi tauladan dan pengalaman.
Ramai orang yang ku temui sepanjang jalan, berbagai cerita ku kutip. Sebagaimana datang dan perginya mentari, sebegitu juga datang dan perginya orang-orang yang ku temui. Melepas jawatan di TBS (hahahaha... tiba-tiba kita gelar sahaja syarikat tersebut sebagai TBS), aku buang semua rakan kenalan kerana malas begitu-begini. Aku tak mahu dipujuk-pujuk dan dirayu-rayu lagi untuk kembali bekerja disitu. Surat perletakan jawatan ku sepatutnya berkuat kuasa pada November 2021, sudahnya Februari 2022 baru aku dapat melepaskan diri. Awalnya Julia masih memujuk hingga terpaksa ku tukar nombor telefon. Hanya dua tiga orang kenalan yang ku maklumkan akan nombor baru ku. Baru aman hidup.
Dalam pada itu Mr.MoTH pula diuji hidupnya. Begitu begini kejadiannya. Banyak yang terjadi. Di ketika itulah semuanya berubah. Aku masih ingat, bersama Ammar dan dua beg pakaian, kami menaiki ETS, mencari ruang berlindung dan sesungguhnya berserah kepadaNya. Di ketika itu aku hanya menurut rencanaNya. Semua yang terjadi bersama hikmah. DIA menjawab doa-doaku. Dalam kalut kami tercampak ke kampung halaman kami lalu akhirnya keluarga kecil kami bersatu semula. Perlahan-lahan hidup kami berubah sepenuhnya. Meski hilang semua, aku redha. Dia memberi yang lebih baik. Sesungguhnya Hanya DIA yang tahu apa terbaik untuk hambaNya.
Menyesuaikan diri dengan keterlambatan waktu di kehidupan baru, Allah SWT memberi aku kekuatan dan ketabahan untuk bertahan. Entah... Kenapa aku bertahan? Sayang? hmmm... apa lagi yang tidak ku hadapi demi kasih sayang ini? Terlalu banyak yang terpaksa aku telan sepanjang hampir 15 tahun ini. Banyak kali juga aku menolak untuk terus berjuang. Banyak kali itulah aku hanya bertahan, saat itu aku hanya menunggu. Menunggu dia memilih untuk tidak lagi memerlukan aku.
Hahahahah... cerita sedih. Di daerah ini Allah menjentik kembali rasa terhadapnya. Sampai bila-bila pun aku akan terus menyayanginya. Namun entah sampai bila-bilakah dia terus menyayangi ku. Kasih sayang ini juga pinjaman dariNya, jangan bongkak... bila-bila pun boleh Dia tarik kembali rasa itu. Akan tetapi, aku mengasihinya kerana dia bergelar imamku, dia suamiku dan aku cintai dia keranaNYA.

No comments:
Post a Comment