Sunday, September 09, 2012
Enthusiasm
Dalam suatu masa, kita rasa sangat seronok pada apa yang kita lakukan. Juga dengan apa yang kita lihat. Termasuk dengan apa yang kita ada. Cuma... adat manusia, tidak kan pernah puas dengan apa dimiliki. Dalam sudut lain ia suatu yang positif. Selagi tidak ada rasa puas dengan apa kita miliki, nafsu untuk terus mengejar yang kita idamkan itu pasti meluap-luap. Itu lumrah manusia. Saya tidak terkecuali. Juga punya nafsu mengejar apa yang saya mahukan. Setiap hari saya memandang ke depan, mahu mengejar mimpi. Dan setiap detik juga ada ujiannya. Meski kita berusaha, meski kita tak putus asa, tidak semestinya kita tidak diduga. Dugaan-dugaan ini mengajar kita erti sabar, bukan sekadar sabar menghadapi dugaan tetapi juga sabar untuk mengorak langkah usaha. Oleh kerana kita sabar untuk terus berjalan hatta berlari kemudiannya... barulah kita menemukan kejayaan. Setiap orang ada kisahnya mengharung dugaan dan lebih banyak juga yang dengan kisahnya mengendong kejayaan. Tersungkur lagi atau lebih gagah berdiri, itu pilihan sendiri. Dan selebihnya kita harus tetap punya semangat untuk meniti lain-lain hari. Dengan semangat itu kita tetap akan bangkit selepas hari-hari semu, kita akan tetap tersenyum selepas menangis pilu dan kita akan teruskan bahagia selepas mengharung duga. Itulah semangat!

No comments:
Post a Comment